KEBUDAYAAN & KESENIAN

Resipi Masakan Turki (Kopi Turki)

Adakah anda menyukai kopi? Kopi hitam, kopi susu, filter kopi atau kopi yang larut di dalam air…. Untuk dapat membuka mata pada waktu pagi, untuk menikmati petang atau selepas menikmati hidangan yang lazat…. Apapun itu, di dunia setiap hari 2.25 bilion cawan kopi dikonsumsi. Kopi Turki, yang merupakan minuman yang telah dikenal di seluruh dunia, adalah salah satu jenis kopi yang paling banyak dikonsumsi di negara ini…. Kopi Turki adalah kopi yang sangat berbeza, baik dari cara memasaknya, kaedah penyajian, gaya meminumnya dan bahkan ada ritual meramal selepas meminum kopi ini.

Walaupun ia bernama Kopi Turki, namun kopi tidak ditanam di wilayah Turki. Hakikat bahawa kopi ini dipanggil kopi Turki berkaitan dengan kaedah memasak yang berbeza yang dikembangkan oleh orang-orang Turki. Kopi, buat pertama kalinya datang ke wilayah Anatolia dari Yaman pada abad ke-16. Dalam masa yang singkat, ia disukai, diterima pakai dan tersebar. Berkat orang-orang Turki, dunia barat berkenalan dengan kopi. Para peniaga Venetian yang datang ke Turki pada awal abad ke-17, minuman beraroma dan menyeronokkan yang mereka lihat di Uthmaniyyah mereka bawa ke Eropah. Kopi yang pada mulanya dijual di jalanan, mula dijual buat kali pertama pada 1645 di sebuah kedai di Itali. Sejak tahun-tahun pertama abad ke-18, kopi mula meluas di Eropah. Kisah masuknya kopi ke Austria juga sangat menarik. Tentera Uthmaniyyah, yang mengepung Wina pada tahun 1683, telah mengalami kekalahan dan meninggalkan karung-karung kopi semasa mereka berundur. Orang-orang Austria pada mulanya menganggap kopi yang ada di dalam karung adalah makanan haiwan. Georg Kolschitzky, yang mengenal orang-orang Uthmaniyyah, mahu karung-karung itu diberikan kepadanya dan menjadikannya modal dan membuka tempat minum kopi di Vienna. Dengan demikian orang-orang Austria berkenalan dengan kopi.

Kopi Turki yang telah disediakan dan disajikan dengan kaedah yang sama sejak abad ke-16, mempunyai tempat yang istimewa dalam budaya Turki. Kopi adalah salah satu cara untuk bersosial yang paling penting, mempertemukan manusia dari semua lapisan masyarakat. Kopi yang diminum secara berhadapan dengan orang yang kita cintai, bererti lebih daripada sekedar cairan berwarna coklat yang mengandung kafein. Secawan kopi kadang-kadang menjadi teman satu perbualan yang indah, kadang-kadang menjadi teman sebuah masalah yang dikongsi, dan terkadang juga sebuah khabar berita tentang masa depan. Anda pasti bertanya bagaimana? Sebagai tradisi yang biasa, selepas minum kopi, cawan dibalikkan dan harapan dimohonkan. Ia kemudiannya diletakkan pada piring secara terbalik dan dibiarkan sejuk. Apabila cawan benar-benar sejuk, bentuk-bentuk yang timbul dalam cawan kopi diinterpretasikan mengikut peraturan-peraturan meramal dan nubuat dibuat tentang masa depan.

Selepas menyampaikan banyak maklumat mengenai kopi Turki, marilah kita menerangkan bagaimana ia dibuat untuk mereka yang tertanya-tanya.

Kopi Turki diminum dalam cawan kecil berukuran kira-kira 70 mililiter dan cawan ini digunakan sebagai ukuran.

Bahan-bahan untuk membuat kopi adalah seperti berikut;

-1 sudu teh serbuk kopi

-1 cawan kopi air

  • gula (antara 1/3 hingga 1 sudu teh)

Penyediaan kopi Turki agak terperinci. Pertama, jika anda membeli kopi belum dalam bentuk bubuk, jadikan biji kopi yang baru dipanggang menjadi bubuk. Kemudian letakkan kopi di dalam ‘’Cezve’’ alat untuk memasak kopi khas. Jika anda tidak mempunyai cezve, anda boleh menggunakan alat yang biasa digunakan untuk menghangatkan susu. Tambahkan air sejuk dan gula ke dalam kopi. Di sini adalah masa yang sesuai untuk memberikan maklumat terperinci mengenai penggunaan gula. Kerana semasa memasak Kopi Turki, gula juga turut dimasak, apabila kopi telah masak tidak boleh ditambah gula atau susu. Kopi Turki dibahagi menjadi empat menurut penggunaan gula; plain, sedikit manis, manis sedang dan manis. Kopi Turki yang plain tidak menggunakan gula. Untuk kopi sedikit manis kita menggunakan 1/3 sudu teh gula, 2/3 sudu teh gula untuk manis sedang dan satu sudu teh gula untuk kopi manis, anda juga boleh menambahnya lagi sesuai selera.

Sekarang, mari kita lanjutkan memasak kopi kita; Kopi, gula dan air yang telah dimasukkan ke dalam cezve atau periuk, kacau dengan teliti dan diletakkan di atas api. Dengan api yang rendah, masak selama kira-kira 3-4 minit sehingga buih di permukaan sedikit mengembang. Apabila kopi telah berbusa, sebahagian daripada busa tuangkan ke dalam cawan. Kerana semakin banyak busa pada kopi, maka semakin baik kopi. Masak semula kopi dan biarkan mendidih kemudian tuang semua sisa kopi ke dalam cawan.

Sajikan bersama segelas air dan Turkish delight

Selamat menikmati!

Dalam program Masakan Turki, kali ini kami telah memberikan resipi Kopi Turki. Sampai jumpa dalam program berikutnya dengan kelazatan yang berbeza.